Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menerima sumbangan sebanyak 36 buah buku ilmiah dan budaya daripada Suruhanjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena pelancaran Sudut Buku India yang berlangsung petang tadi di Bilik Taqwa, kolej universiti berkenaan.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke NBD, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani. Turut hadir, Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani bersama pegawai-pegawai eksekutif dan utama KUPU SB.
Pelancaran Sudut Buku India di Perpustakaan KUPU SB merupakan hasil kerjasama antara KUPU SB dan Suruhanjaya Tinggi India ke NBD dalam usaha memperkukuh hubungan akademik serta kebudayaan antara NBD dan India.
Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha memperkayakan sumber rujukan perpustakaan bagi dimanfaatkan oleh tenaga akademik, penyelidik serta mahasiswa dan mahasiswi institusi tersebut.
Selain itu, penubuhan sudut berkenaan juga mencerminkan komitmen berterusan KUPU SB dalam memperluaskan jaringan kerjasama bersama komuniti, institusi dan pemegang taruh di peringkat kebangsaan, serantau serta antarabangsa.
Usaha tersebut selaras dengan hasrat KUPU SB untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan, konsultasi serta khidmat masyarakat.